Asal-usul istilah Radio

Pada mulanya, radio atau radiotelegrafi dipanggil "telegrafi wayarles", atau singkatannya "wayarles" (wireless). Awalan radio- yang membawa erti penyiaran tanpa talian, julung kalinya dicatatkan dalam istilah radioconductor, ciptaan ahli fizik Perancis Édouard Branly pada tahun 1897, berasaskan perkataan Latin radius yang bererti "jejari roda" atau "sinar cahaya". "Radio" sebagai kata nama dipercayai dicipta oleh pakar pengiklanan Waldo Warren (White 1944), dan juga kelihatan dalam sebuah rencana tulisan Lee De Forest pada tahun 1907, diterima guna oleh Tentera Laut Amerika Syarikat pada tahun 1912, dan menjadi laris apabila bermulanya siaran komersil pertama di Amerika Syarikat pada 1920-an. Istilah "radio" turut diterima oleh bahasa-bahasa Eropah dan Asia. Negara-negara Komanwel British terus mengutamakan istilah "wayarles" sehingga pertengahan abad ke-20, meskipun majalah BBC di UK bernama Radio Times sejak julung kali diterbitkan pada awal 1920-an.

Baru-baru ini, istilah "wayarles" dibangkitkan semula menerusi perkembangan pesat perangkaian komputer jarak dekat, seperti Rangkaian Kawasan Tempatan Wayarles (Wireless Local Area Network, WLAN), WiFi, dan Bluetooth, tidak lupa juga perhubungan telefon bimbit, seperti GSM dan UMTS. Kini, istilah "radio" biasanya memaksudkan peranti atau cip penghantar-terima sebenar, manakala "wayarles" ialah sistem dan/atau kaedah yang digunakan untuk perhubungan radio. Oleh itu, kita membincangkan penghantar-terima radio dan Pengenalpastian Frekuensi Radio (Radio Frequency Identification, RFID), tetapi peranti wayarles dan rangkaian pengesan wayarles.